Senyum terukir gembira terserlah,
Kerana mendapat sebuah anugerah,
Ketibaan mu disambut penuh meriah,
Karna bakal menjadi pejuang di bumi barakah.
Seawal 7.30 pagi, puluhan kenderaan sudah perpusu-pusu menuju ke Kompleks Darul Quran memecah keheningan suasana pagi disini. Puluhan keluarga yang hadir dari seluruh pelusuk tanah air menimbulkan suasana meriah pada hari ini. Tujuan mereka tidak lain adalah untuk mengiringi anak-anak bagi majlis pendaftaran pelajar persijilan tahfiz DQ-UIAM. Pelbagai aksi dan riak muka yang dapat disaksikan daripada gelagat anak-anak yang bakal bergelar siswa dan siswi serta para ibu bapa yang menaruh harapan begitu tinggi demi melihat anak-anak mereka berjuang di bidang al-Quran. Tidak terlepas juga dengan aksi dan gelagat urusetia yang mula sibuk bertugas pada posisi masing-masing demi memastikan kelangsungan perjalanan majlis.
Sesi pendaftaran bermula pada pukul 8.30 pagi. Para pelajar yang bakal mendaftar beratur mengikut kaunter-kaunter yang ditetapkan oleh pihak Darul Quran manakala para ibu bapa dan ahli keluarga pelajar dijamu dengan sarapan pagi di belakang Dewan Muktamar. Dapat dilihat sekali imbas pada riak wajah bakal mahasiswa yang seolah-olah tidak sabar lagi untuk menempuh cabaran kehidupan sebagai seorang mahsiswa. Sesi pendaftaran berakhir setelah tetamu dan dif-dif kehormat tiba. Turut serta pada majlis ini adalah Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Dekan UIAM, dan Pengarah Darul Quran JAKIM.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis, kemudian diteruskan dengan ucapan sulung Pengarah Darul Quran buat siswa-siswi yang baru mendaftar. Majlis seterusnya dirasmikan oleh Tuan Haji Othman, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM. Acara diteruskan lagi dengan bacaan ikrar pelajar baru yang kemudiannya diakhiri dengan majlis penyerahan pelajar oleh para ibu bapa kepada pihak Darul Quran.Majlis perasmian ini berjalan dengan lancar, walaubagaimanapun terasa sedikit kekurangan kerana antara tetamu kehormat yang dijadualkan akan turut serta bersama memeriahkan majlis ini iaitu Al-allamah Prof. Dr. Yusof Al-Qaradhawi tidak dapat menghadirkan diri di atas masalah yang tidak dapat dielakkan
Hampir jam 12 tengah hari, para ibu bapa, ahli keluarga dan siswa siswi dijemput untuk menjamu selera di Dewan Makan Asrama Banin. Setelah selesai menjamu selera, kesemua mereka terus menuju ke blok asrama yang ditetapkan untuk urusan pendaftaran masuk ke asrama. Pelbagai gelagat yang dapat disaksikan di sekitar kawasan asrama. Cuaca panas tidak menghalang para pelajar untuk meneruskan proses mengangkat barang-barang keperluan. Gerai PERKEMAT yang disediakan mendapat sambutan hangat daripada para pelajar untuk mendapatkan keperluan masing-masing.
Kawasan Darul Quran mula lengang dari kenderaan para ibu-bapa setelah pukul 3 petang. Kelihatan para pelajar baru sedang menyesuaikan diri di dalam bilik masing-masing. Kemudian bermula program Haluan Siswa pada pukul 5 petang yang bertujuan untuk suai-kenal antara mereka dan kakitangan Darul Quran. Apapun tidak terlewat bagi kami warga Darul Quran mengucapkan, Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum!!!

ALLAHU AKBAR
ALLAHU AKBAR
ALLAHU AKBAR
WA LILLAHIL HAMD
Firman Allah s.w.t:
“Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Anaknya menjawab: “ Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah ayah akan mendapati daku dari kalangan orang yang bersabar” as-Saffat; 102
Aidul adha kembali menjengah, membawa seribu satu kisah pengorbanan yang sewajarnya kita hayati. Kisah pengorbanan pertama yang berlaku, pembunuhan Habil yang dibunuh saudara kandungnya Qabil, ditambah dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ‘alaihimassalam merupakan pengajaran yang amat berharga yang perlu untuk dihayati.
Seperti ‘aidul Fitri, ‘aidul adha juga bukan merupakan satu perayaan adat. Menjelang 10 Zulhijjah maka bergema semula takbir di angkasa, memecah segala kesunyian. Pada hari ini juga, disyariatkan ibadah haji kepada umat Islam. Namun, ia bukanlah satu adat akan tetapi ianya mempunyai makna yang cukup tersirat. Hikmah Allah menjadikan hari ini sesuai dengan keperluan semasa.
Jihad dan pengorbanan merupakan dua elemen yang berkait rapat. Kedua-duanya memerlukan satu elemen tambahan yang akan menghasilkan natijah yang sempurna. Itulah elemen kesabaran. Apa-apa perkara yang mampu menguntungkan Islam, yang mampu mengangkat semula martabat Islam dipanggil jihad. Dan jihad memerlukan kepada pengorbanan yang sangat tinggi. Mana mungkin jihad mampu terhasil jika tidak disertakan dengan pengorbanan. Pengorbanan pula perlulah disertakan dengan kesabaran kerana tujuan jihad itu sendiri adalah untuk menggapai redha Allah.
Kembali berpijak di bumi yang nyata. Manusia yang hidup pada hari ini semakin hari semakin jauh dari undang-undang Allah s.w.t. Jangan kita menyangka undang-undang Allah itu hanya berkisar undang-undang pemerintahan negara, akan tetapi undang-undang terhadap individu juga termasuk dalam erti kata undang-undang Allah s.w.t. Kita sering kali membicarakan perihal masyarakat luar yang semakin parah dan kronik dengan gejala sosial yang melanda. Propaganda yang dibawa oleh musuh Islam telah menjadikan umat Islam hari ini semakin lemah dan jauh tersasar dari hala tuju yang sebenar. Namun, perlu juga untuk kita sedari bahawa propaganda ini juga yang telah meresap masuk ke dalam diri dan pemikiran masyrakat huffaz hari ini.
Mungkin tidak keterlaluan untuk saya katakan, masyarakat huffaz merupakan nadi penggerak kepada masyarakat di luar. Masyarkat huffaz ibarat hati di dalam satu badan. Jika rosak hati tersebut maka akan rosak jugalah seluruh tubuh badan. Namun jika baik hati tersebut maka sejahteralah seluruh tubuh badan. Merenung kembali apa yang pernah diperkatakan oleh Syeikhuna Abul A’ala al-Maududi di dalam makalahnya, Manhaj Hidup Muslim. Sememangnya Al-Quran itu tinggi tempatnya, tetapi kita yang merendahkannya. Melakukan kezaliman terhadap Al-Quran bukan hanya bererti meletakkan Al-Quran itu di tempat yang kotor, tetapi jika mengabaikan segala yang termaktub di dalamnya juga merupakan satu kezaliman yang besar.
Kita mengetahui, Allah telah menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai qudwah hasanah. Ketika ditanya kepada saiyidatuna ‘Aishah radhiyallahu ‘anha tentang akhlak Baginda, maka Ummul mu’minin ‘Aisyah mengatakan bahawa akhlak Baginda itu adalah Al-Quran. Muhasabahlah semula, di mana tingkatan akhlak kita. Bagaimana akhlak kita dengan diri kita, bagaimana akhlak kita dengan masyarakat, dan yang paling penting bagaimana pula akhlak kita dengan Allah s.w.t.
Pernah satu ketika, saat pulangnya Ibrahim bin Ablah dari satu peperangan. Ibrahim bin Ablah berkata kepada tenteranya bahawasanya mereka pulang dari jihad yang kecil (peperangan) kepada jihad yang besar (melawan hawa nafsu). Seperti yang dinyatakan, jihad memerlukan kepada pengorbanan dan kesabaran. Untuk mencontohi model yang ditunjukkan Baginda bukanlah mudah kerana ianya amat bertentangan dengan nafsu yang sentiasa mengajak ke arah kejahatan. Justeru hanya hati yang sentiasa berpaut pada Allah sahaja yang bakal melepasi ujian ini. Perkara asas yang perlu diambil kira ialah nilaian ketaqwaan kita kepada Allah. Hanya pengorbanan orang yang bertaqwa sahaja yang bakal diterima oleh Allah seperti yang dirakamkan di dalam Surah Al-Maidah ayat 27.
Wallahu a’alam..
Sekian
MUHAMMAD FAKHRUR RIDZWAN BIN OTHMAN
Yang Di-Pertua
Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran
Sesi 2009/2010
"Kepimpinan bukanlah satu perkara yang mutlak.."
Tanggal 21 November 2009 telah berlangsung satu detik yang amat bersejarah buat seluruh ahli Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ), kerana pada tarikh berkenaan telah berlakunya pertukaran pucuk pimpinan PERKEMAT sesi 2008/2009. Annual General Meeting kali ke-25 itu bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.
Kepimpinan yang lepas (08/09), yang dipimpin oleh Saudara Ahmad Qutaibah b Mohamed yang di taklifkan sebagai Yang Di Pertua telah digantikan oleh Saudara Muhammad Fakhrur Ridzwan b Othman yang memegang kerusi Timbalan Lajnah Hal Ehwal Siswa pada sesi yang lepas. Beliau turut dibantu oleh Saudari Nur Afifah bt Muhamad yang ditaklif sebagai Naib Yang Di Pertua.
Semoga kepimpinan pada sesi ini lebih baik dari yang sebelumnya. Seeru 'ala baarokatillah...Ameen


